WebLogo


maklumbalas    hubungi kami    soalan lazim    peta laman    carian


maklumbalas    hubungi kami    soalan lazim    peta laman    carian

KUALA LUMPUR, 10 Nov 23 – Bergabung dua Visi, satunya untuk “Menjadi Koperasi Yang Terunggul Dari Perspektif Keterampilan Identiti, Keluhuran Integriti Dan Ketinggian Tahap Kompetensi” (Visi Koperasi Tentera) dan “Menjadi Penjana Kecemerlangan Pembangunan Kerohanian Modal Insan ATM Yang Unggul” (Visi KAGAT) maka terciptalah sejarah sebuah kolaborasi iman dan taqwa sebagaimana firman Allah Taala yang bermaksud, “Dan hendaklah kamu saling membantu atas perkara kebajikan serta ketaqwaan dan jangan kamu saling berkerjasama di atas perkara dosa serta permusuhan..”.

Di atas sempena usia 63 tahun penubuhan Koperasi Tentera maka hari ini terlaksana suatu program Forum Perdana yang mengupas tajuk “Integriti: Ringan Tapi Berat” bertempat di Auditorium Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan Malaysia.
KAGAT sebagai rakan strategik dan teman kolaborasi dengan cemerlangnya mengkoordinasi kerjasama untuk menganjurkan Forum Perdana yang menampilkan dua panelis yang merupakan figura dakwah negara iaitu Dato’ Ustaz Kazim bin Elias Al-Hafiz (Pengasas Pusat Pendidikan Al-Barakah dan Penceramah Bebas) dan juga Ustazah Asni binti Abu Mansor Al-Hafizah (Penceramah Bebas) dan Ustaz Fakhrul Radhi bin Khamarudin (Juara Akademi Al-Quran Musim Kedua, Pengacara Televisyen dan Penyanyi Nasyid UNIC) bertindak sebagai moderator. Kedua ahli panel telah menyampaikan mesej untuk menjadi warga kerja yang berintegriti tinggi dengan membawa pelajaran dan pengajaran dari al-Quran, sirah Rasulullah SAW serta keperibadian para sahabat untuk menunjangi qudwah ikutan bagi seluruh anggota ATM, warga kerja Kementerian Pertahanan dan juga Koperasi Tentera.
Selain pengisian Forum Perdana yang agak menarik dan bercorak santai tapi sampai, ia telah diawali dengan slot Taklimat dari pihak Koperasi Tentera dan disusuli dengan acara cabutan bertuah sebanyak 30 hadiah yang juga ditaja oleh pihak Koperasi Tentera. Acara cabutan bertuah sebegini bagaikan telah menjadi sinonim dengan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh pihak KAGAT bersama rakan strategik dan teman kolaborasi, malah ini menjadi suatu tarikan dalam medium dakwah agar ia jadi lebih bugar mewarnai hati-hati warga ATM untuk membina cara hidup beragama. Seusai sahaja slot Forum Perdana para penonton telah dihiburkan dengan suatu persembahan yang melunakkan jiwa melalui sebuah lagu autentik dengan Preview Muzik Video terbaharu daripada Kumpulan nasyid KAGAT, “Al-Fursan - Keinsafan Diri” dan sebuah lagi lagu bercereita tentang penderitaan dan perjuangan umat Islam Palestin.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyerahan mockup cheque sumbangan bantuan rakyat Palestin berjumlah RM110,000.00 daripada ATM dan RM50,000.00 daripada Koperasi Tentera kepada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin melalui Kementerian Luar Negeri. Majlis telah disempurnakan oleh YBhg Jeneral Tan Sri Datuk Seri Panglima Mohammad bin Ab Rahman, Panglima Angkatan Tentera kepada YBhg Dato’ Ahmad Rozian bin Abd Ghani, Timbalan Ketua Setiausaha, Jabatan Dua Hala Kementerian Luar Negeri. Sumbangan ini sebagai tanda solidariti dalam membantu serta mendukung perjuangan rakyat Palestin yang sedang berhadapan dengan peperangan dan penjajahan dari pihak Zionis Israel Ketika ini.
Turut hadir dalam program hari ini adalah Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain bin Jantan, Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi bin Tengku Ibrahim, Timbalan Panglima Tentera Darat, Tuan Mohd Ghazali bin Abbas, Ketua Pegawai Eksekutif Koperasi Tentera, Laksamana Madya Datuk Zulhelmy bin Ithnain, Timbalan Panglima Tentera Laut Mewakili Panglima Tentera Laut, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi bin Hj Ahmad, Ketua Staf Markas ATM, Mej Jen Roba’i bin Rahmat, Pengerusi Koperasi Tentera, Para Pegawai Kanan ATM dan Koperasi Tentera serta warga Kementerian Pertahanan. Adalah menjadi suatu harapan besar bagi ATM, Koperasi Tentera dan KAGAT khususnya agar program sebegini akan dapat memberi manfaat yang besar khususnya dalam meningkatkan syiar Islam dalam kalangan warga Koperasi Tentera dan ATM. KAGAT dan ATM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Koperasi Tentera dan pihak yang terlibat serta turut menjayakan program ini.

dslr klik