KUALA LUMPUR, 17 Nov 23 – “Meningkatkan Tahap Kesiagaan Kerohanian Warga ATM Melalui Pendidikan Islam dan Perkhidmatan Keagamaan” itulah misi Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) yang sehingga kini menjadi teras tunjang kepada gerak kerja seluruh warganya demi merealisasikan kor ini sebagai Teras Kerohanian ATM.
Sementelah itu bagi menjayakan aspirasi misi maka hari ini, Mej Jen Dato’ Hj Mohd rashidi bin Bujai, Ketua Pengarah KAGAT telah sudi melapangkan masa untuk hadir ke HAT MIZAN bagi tujuan menyerahkan sumbangan Tabung Zakat ATM kepada pihak HAT MIZAN. Majlis Penyerahan Mock Up Cek kepada Tabung Kebajikan Rejimen (TKR) HAT MIZAN sejumlah RM18,500.00 telah diterima oleh Brig Jen Dato’ (Dr) Haji Mohamed Hatta bin Haji Manis selaku Pegawai Memerintah HAT MIZAN bertempat di Bilik Auditorium Hat Mizan. Semoga dengan adanya sumber kewangan ini maka ia akan dapat membantu Pegawai dan Staf Agama KAGAT untuk menjalankan pelbagai aktiviti keagamaan demi meningkat dan memperkasakan kerohanian warga HAT Mizan khususnya yang sentiasa berjasa kepada seluruh warga ATM khususnya dalam memberikan perkhidmatan kesihatan. Sesungguhnya dengan kerja yang amat mulia dari kalangan warga kerja anggota Kor Kesihatan Diraja (KKD) berserta sulaman kehidupan beragama dan berakhlak, sudah pasti ia akan dipandang tinggi oleh sesama manusia malah semoga ia menjadi jambatan ke syurga di akhirat nanti. Merealisasikan harapan itu di majlis tersebut, hati dan jiwa hadirin telah dibekalkan dengan Tausiyah Rohani yang menyentuh hati oleh Alfadhil Ust Akhil bin Abdul Hayy dalam Ceramah Perdana HAT MIZAN. Keserian majlis selain dihadiri oleh Ketua Pengarah KAGAT dan Pegawai Memerintah HAT MIZAN ia juga turut dihadiri oleh sebahagian besar dari kalangan Pegawai, staf tentera dan awam HAT MIZAN. Rata-rata wajah yang hadir menzahirkan kepuasan dan meletakkan pengharapan yang tinggi agar pihak KAGAT akan terus membahu untuk mengetengahkan idea-idea baharu dalam melonjakkan aktiviti keagamaan dan kerohanian khususnya buat warga HAT MIZAN.