KUALA LUMPUR, 26 Januari 2022 - Buat julung kalinya, Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) telah menganjurkan Pentarama Zikir & Fikir Peringkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2022 yang berkonsepkan persembahan pentas, penyampaian tausiah serta hiburan berbentuk Islamik yang bertemakan Ibrah Di Sebalik Musibah bertempat di Auditorium Wisma Pertahanan hari ini.
Program ini dianjurkan atas inisiatif untuk mewujudkan rasa keinsafan diri atas kekerdilan kudrat manusia dan juga hamba berbanding dengan kebesaran, kekuatan dan keagungan kudrat dan iradah Allah SWT yang menimpakan musibah-musibah khususnya dalam beberapa tahun kebelakangan ini dengan ujian Pandemik COVID-19 serta banjir besar yang melanda negara baru-baru ini.Pentarama dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang mengisahkan tentang peringatan dari Allah yang akan menguji ketabahan dan kesabaran manusia khususnya di kalangan mereka yang beriman. Pentarama Zikir dan Fikir ATM 2022 diselang seli dengan lantunan zikir-zikir dan alunan nasyid kontemporari yang dimodifikasi bersesuaian dengan tema Pentarama iaitu ????? ?? ??????? ???????. Rata-rata hadirin menyatakan keterujaan dengan konsep Pentarama yang dipersembahkan kerana ianya mampu mendatangkan rasa kesedaran dan keinsafan walaupun dilaksanakan dalam masa yang cukup singkat. Pihak Pengurusan Tertinggi ATM juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada kumpulan Fursan dari Pasukan Dakwah Medan (PASDAM) KAGAT, De'Potera dari Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) dan Badan Kesenian Tentera Darat (BKTD) yang menonjolkan kualiti persembahan yang terbaik dan bermutu. Pentarama juga dilengkapkan dengan dua slot tausiah pendek oleh Ustaz Elyas bin Ismail yang membicarakan tentang persoalan pengajaran dari setiap musibah dan ujian yang melanda.
Dalam program ini juga turut dilaksanakan Pelancaran Laman Web Rasmi KAGAT yang telah beroperasi sejak tahun 2011 oleh Unit IT Jabatan Arah KAGAT dan disempurnakan perasmiannya oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato' Seri Zamrose bin Mohd Zain mewakili Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj. Affendi bin Buang TUDM. Laman web rasmi KAGAT berfungsi sebagai salah satu medium penyampaian maklumat berkaitan KAGAT merangkumi aspek pengurusan dan pentadbiran serta pengoperasian KAGAT serta saluran penyampaian wadah ilmu dan dakwah yang memberi manfaat bukan sahaja kepada warga ATM malah kepada umat Islam di Malaysia. Turut dilaksanakan dalam program ini adalah penyerahan hadiah bagi Cabutan Bertuah kepada pemenang yang dianjurkan oleh BIMB bersempena Kempen Pahlawan Bank Islam 2021 dan Hari ATM Ke-88. Pihak BIMB telah memperuntukan hadiah bernilai lebih dari RM460,000.00. Antara hadiah yang telah disampaikan adalah 30 voucher rumah bernilai RM3,000.00, 5 buah Perodua Myvi 1.5 (A) beserta hadiah utama iaitu sebuah Proton X50. Kempen yang dilaksanakan oleh BIMB ini sebagai satu pengukuhan jalinan kerjasama erat bersama ATM dalam mempromosikan produk pembiayaan peribadi patuh syariah BIMB. Turut hadir dalam program ini ialah Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany, Timbalan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia, Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM mewakili Panglima Tentera Udara, Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zakaria bin Hj. Yadi, Ketua Pengarah KAGAT, Mejar Jeneral Hj. Muhamad Azmi bin Wahab, Pegawai-Pegawai Kanan ATM dan Kementerian Pertahanan