TIMBALAN KETUA PENGARAH OPERASI DAN PEMBANGUNAN INSAN
Brigedier Jeneral Zainal Abidin bin Mohamed Salleh telah dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan pada tanggal 9 Jun 1970. Beliau merupakan graduan Sarjana dalam bidang Dakwah dan Pengurusan Islam dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Ijazah Sarjana Muda Syariah (Kepujian) dari Universiti Jordan, dan juga pemegang Diploma Pengajian Islam Bahasa dan Kesusasteraan Arab dari Kolej Universiti Islam Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Terengganu. Beliau telah menyertai perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia pada 14 Jun 1999 dan menjalani latihan Pegawai Ikhtisas KAGAT di Pusat Latihan Askar Wataniah (PUSWATAN), Ipoh, Perak.
Setelah menamatkan latihan, beliau telah ditauliahkan ke pangkat Kapten dan seterusnya mula bertugas sebagai Pegawai Agama di Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) hingga 2003. Beliau memegang pelbagai jawatan di sepanjang perkhidmatan. Pada 2003 – 2007, beliau telah berkhidmat sebagai Pegawai Agama di Institut Kejuruteraan Medan (IKEM), Kem Mahkota, Kluang, Johor dan kemudiannya menjawat jawatan Pegawai Agama pasukan 15 RAMD, Negeri Sembilan.
Beliau pernah diamanahkan sebagai Jurulatih Pengajian Syariah di KD PELANDUK, Pangkalan TLDM Lumut pada 2009 – 2011 dan selepas itu beliau dilantik sebagai Pegawai Staf 2, Inspektorat RnD pada 2011 – 2013. Manakala pada 2013 – 2015 beliau termasuk dalam senarai LPK 2 kerana mengikuti pengajian peringkat sarjana di USIM. Setelah itu beliau telah diamanahkan sebagai PS 2 Agama di MK TD pada tahun 2015 -2019. Beliau kemudian telah dinaikkan ke pangkat Lt Kol pada 01 Ogos 2019 dan diamanahkan sebagai Pegawai Staf 1 Agama, MK TD sehingga 2021. Setelah hanya beberapa bulan selepas itu, beliau telah dinaikkan ke pangkat Kolonel dan menjawat jawatan sebagai Pengarah Agama MK TD pada tahun 2021 – 2022. Manakala pada tanggal 13 Feb 2022 beliau telah dinaikkan ke pangkat Brigedier Jeneral dan diamanahkan sebagai Timbalan Ketua Pengarah Operasi dan Pembangunan Insan (TKPO) di Jabatan Arah KAGAT. Sebagai pengiktirafan terhadap khidmat bakti yang telah dicurahkan kepada negara, Brigedier Jeneral Zainal Abidin bin Mohamed Salleh telah dikurniakan pingat Pahlawan Angkatan Tentera (PAT) pada 20 Oktober 2022.
Beliau telah mendirikan rumah tangga dengan Puan Puteri Nilofar binti Ahmed Kamil dan telah dikurniakan cahaya mata seramai 2 orang perempuan dan seorang lelaki. Hobi beliau ketika masa lapang ialah menghadiri seminar dan simposium dan pelbagai medium lain untuk tujuan percambahan ilmu.