WebLogo


maklumbalas    hubungi kami    soalan lazim    peta laman    carian


maklumbalas    hubungi kami    soalan lazim    peta laman    carian

profile KP KAGAT

MEJAR JENERAL DATO' HAJI MOHD RASHIDI BIN BUJAI
PSAT DSAP KAT PPS PPA MEd (Islamic Education) BA (Hons) Syariah (Mesir)
 
KETUA PENGARAH

Mejar Jeneral Dato' Hj Mohd Rashidi bin Bujai telah dilahirkan di Kota Tinggi, Johor pada tanggal 13 Mac 1969. Beliau merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Perundangan Islam (Kepujian) Universiti Al-Azhar, Mesir dan pemegang Ijazah Sarjana Pendidikan (Pendidikan Islam), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak.

Beliau telah menyertai perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia pada 17 Ogos 1995. Beliau telah menjalani latihan di Pusat Latihan Askar Wataniah (PUSWATAN), Ipoh, Perak. Setelah menamatkan latihan, beliau telah ditauliahkan ke pangkat Kapten dan seterusnya mula bertugas sebagai Pegawai Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT). Beliau mempunyai pengalaman yang luas dan pernah memegang pelbagai jawatan penting di sepanjang perkhidmatan. Sebagai seorang Pegawai Kor Agama Angkatan Tentera, beliau telah memulakan langkah dalam perkhidmatan sebagai Pegawai Staf 3 Agama di Markas 4 Briged (Mekanize) (1995 - 1999), Pegawai Staf 3 Rancang di Jabatan Arah KAGAT (1999-2002) dan Pegawai Latih di Institut Latihan dan Kefahaman Islam, Angkatan Tentera Malaysia (ILMI ATM) pada 2002 - 2004. Beliau kemudiannya telah dinaikkan ke pangkat Mejar pada 1 Jun 2004 dan berkhidmat sebagai Pegawai Staf 2 Penyelidikan, ILMI ATM (2004-2006), Pegawai Staf 2, Pembangunan Keluarga Jabatan Arah KAGAT (2006 - 2011), Pegawai Staf 2 Kurikulum dan Peperiksaan, Jabatan Arah KAGAT (2011-2013). Beliau telah diberikan peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana di UPSI bermula 18 September 2013 dan berjaya menamatkan pengajiannya pada tahun 2015. Setelah menamatkan pengajian, beliau telah dinaikkan ke pangkat Leftenan Kolonel pada 30 Oktober 2015 dan menjawat jawatan Ketua Pengurusan Masjid. Setelah itu, beliau telah menjawat jawatan Ketua Inspektorat Jabatan Arah KAGAT (2016-2019) dan Ketua Pengurusan Sumber Manusia Jabatan Arah KAGAT (2019 -2020) dan pada 29 Ogos 2020 beliau telah dinaikkan ke pangkat Kolonel dan diamanahkan sebagai Pengarah Agama, Markas Tentera Darat.

Seterusnya atas komitmen dan kecemerlangan sepanjang memegang jawatan Pengarah Agama, Markas Tentera Darat, beliau telah dinaikkan ke pangkat Brigedier Jeneral pada 28 Mei 2021 dan menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah Operasi dan Pembangunan Insan (TKPO) Kor Agama Angkatan Tentera. Tanggal 14 Feb 2022 menjadi tarikh keramat apabila beliau telah dinaikkan pangkat ke Mejar Jeneral dan seterusnya menjawat jawatan tertinggi dalam KAGAT sebagai Ketua Pengarah KAGAT ke-9. Dalam menentukan kecemerlangan pendidikan dan pengetahuannya, Mejar Jeneral Haji Mohd Rashidi bin Bujai telah mengikuti beberapa kursus/pengajian di dalam dan juga di luar negara. Antara kursus utama yang dihadiri adalah Program Pertukaran Pegawai Di Antara Tentera Darat Malaysia dan Tentera Nasional Indonesia (1997), Kursus Pengurusan Fatwa di Darul Ifta', Mesir (2008) dan Sarjana Pendidikan (Pendidikan Islam) (2013). Sebagai pengiktirafan terhadap khidmat bakti yang telah dicurahkan kepada negara, Mejar Jeneral Dato' Haji Mohd Rashidi bin Bujai telah dikurniakan pingat Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT) pada 20 Oktober 2022 dan kemudian dianugerahkan pula Darjah Sutan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Dato' sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-63 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang pada 8 Disember 2022. Beliau telah mendirikan rumah tangga dengan Datin Rahmah binti Ghazali dan telah dikurniakan 3 orang cahaya mata iaitu dua orang perempuan dan seorang lelaki. Hobi beliau ketika masa lapang ialah membaca dan memberi rawatan perubatan Islam kepada mereka yang memerlukan.