SEREMBAN, 21 Mac 2022 – Malam bersejarah bagi warga Kor Agama Angkatan Tentera, apabila sebahagian kecil warganya dari kalangan pegawai dan anggota hadir ke Majlis Makan Malam Memori Berjuang (3M1B) sempena penghargaan kepada Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) Ke-8, Mej Jen Hj Muhamad Azmi bin Wahab yang telah menamatkan perkhidmatannya pada tarikh 25hb Mac 2022 baru-baru ini. Beliau telah menamatkan perkhidmatannya dengan penuh kecemerlangan setelah berkhidmat selama 34 tahun 1 bulan dan 4 hari dalam ATM. Persaraannya merupakan sebuah kehilangan besar bukan sahaja bagi warga KAGAT tetapi juga kepada seluruh warga ATM samada Darat, Laut dan juga Udara. Dalam ucapan aluan KP KAGAT Ke-9 yang baru, selain mengucapkan jutaan terima kasih di atas sumbang bakti serta jasa yang ditumpahkan oleh Mantan KP KAGAT Ke-9 beliau juga mengharapkan agar Mantan KP itu masih sudi memberikan tunjuk ajar dan idea serta nasihat selaku orang lama dalam kor agar ianya dapat terus mengoptimumkan kejayaan dan kecemerlangan KAGAT di masa hadapan. Dalam ucapannya itu, beliau juga mengharapkan hubungan ukhuwah serta persahabatan yang pernah terbina ini tidak akan terhenti hanya disebabkan tembok perkhidmatan sebagai pemisah. Manakala dalam ucapan balas, Mantan KP KAGAT Ke-8 telah memulakan dengan ucapan sekalung penghargaan khususnya kepada KP KAGAT Ke-9 diatas perlantikan sebagai KP KAGAT yang baru dan juga kepada beberapa Pegawai Kanan KAGAT yang dinaikkan pangkat serta menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah Dasar dan Pengurusan (TKPP), Timbalan Ketua Pengarah Operasi dan Pembangunan Insan (TKPO) dan juga Ketua Pengarah Kerohanian MPLDTD. Sebagai tausiyah dan juga amanat terakhir di majlis itu, Mantan KP KAGAT Ke-8 berharap agar para pegawai dan anggota KAGAT dapat merujuk kembali kepada beberapa perkara yang telah beliau utarakan dalam Perintah Ulung sebagai KP KAGAT ke-8 seperti nilai I ‘M FIT (Ikhlas, Mujahadah, Fokus, Inklusif dan Tasking) kerana semua itu menjadi tokok tambah ke arah melahirkan warga yang kredibel dan kompiten sepanjang masa. Beliau juga menekankan tentang perlunya warga KAGAT untuk untuk memberikan ketaatsetiaan kepada pucuk pimpinan KAGAT yang baru, Mej Jen Hj Mohd Rashidi bin Bujai supaya dapat membantu beliau membawa KAGAT ke mercu jaya. Majlis 3M1B malam itu dihiasi dengan hiburan berbentuk ketuhanan dan nostalgik perjuangan dan diakhiri dengan acara bergambar bersama Mantan KP KAGAT Ke-8.