KUALA LUMPUR, 30 Mac 2022 – Masih dalam langkah awal sebelum 100 hari pemerintahannya, Ketua Pengarah KAGAT ke-9 telah memulakan gerak kerjanya dengan melaksanakan program Lawatan ke pasukan 92 Pusat Tahanan Angkatan Tentera (92 PTAT) sebagai suatu tanda keprihatinan selaras dengan konsep 3T (Ta’lim, Tarbiyyah dan Ta’dib) antara yang memimpin dan dipimpin sebagaimana beliau nyatakan dalam Perutusan Direktif Ketua Pengarah KAGAT Ke-9 baru-baru ini.
Ketibaan Ketua Pengarah KAGAT telah disambut oleh Komandan 92 PTAT, Mej Zanariyah binti Zahari, beserta pegawai dan staf pasukan 92 PTAT pada jam 0900. Bersama mengiringi Ketua Pengarah KAGAT dalam program lawatan ini adalah Ketua Sel Kebajikan dan Ahwal Syakhsiah, Ket Unit Undang-Undang Syariah serta SMR KAGAT. Program lawatan ini dilaksanakan bertujuan untuk meninjau secara dekat peranan dan fungsi pasukan terbabit dan juga untuk turut menyantuni anggota-anggota tahanan sebelum menjelangnya bulan Ramadan Al-Mubarak 1443H. Dalam lawatan tersebut, KP KAGAT bersama rombongan telah dibawa melawat sekitar pasukan dan khususnya ke Sel Tahanan yang boleh menempatkan seramai 60 orang tahanan dalam satu masa. Rombongan juga telah dibawa meninjau ke Bilik Gelap (Tahanan Rapi) bagi merasai sendiri pengalaman berada dalam bilik tersebut. Dalam pertemuan singkat sesi ramah mesra dengan anggota tahanan KP KAGAT telah menitipkan sedikit amanat dan nasihat kepada anggota tahanan supaya dapat mencipta masa depan yang lebih baik setelah mereka menghabiskan tempoh tahanan di 92 PTAT nanti. Kemudiannya dalam sesi taklimat lawatan, Komandan 92 PTAT telah memberikan taklimat ringkas berkaitan fungsi dan peranan serta keadaan situasi semasa pasukan tersebut. Bersempena lawatan itu juga, KP KAGAT telah menyampaikan sedikit sumbangan kebajikan kepada keluarga anggota-anggota tahanan dan juga penyampaian bahan-bahan bacaan kepada pasukan 92 PTAT kepada Komandan 92 PTAT. Lawatan tersebut diakhiri dengan majlis menandatangani buku lawatan oleh KP KAGAT.