KUALA LUMPUR, 26 Okt 2022 - Ibarat permata yang tiada galang gantinya. Itulah suatu ungkapan buat para Daie Askari yang akan menamatkan perkhidmatan di dalam organisasi ATM amnya dan khususnya Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) yang dicintai.
Seramai 15 orang terdiri daripada 5 pegawai dan 10 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) telah diraikan dalam satu majlis meraikan pesara KAGAT bertempat di UTM Hotel & Residence, Kuala Lumpur dengan penuh kesederhanaan tetapi bermakna.Majlis dimulakan dengan Taklimat Persatuan Veteran KAGAT SeMalaysia yang disampaikan oleh Setiausaha Veteran KAGAT SeMalaysia, Mej Samehah binti Mohd Saad (Bersara). Kemudian Majlis diserikan dengan kehadiran Ketua Pengarah KAGAT, Mej Jen Hj Mohd Rashidi bin Bujai, Timbalan Ketua Pengarah Operasi dan Pembangunan Insan, Brig Jen Zainal Abidin bin Mohamed Salleh, Ketua Pengarah Kerohanian Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (MPLDTD), Brig Jen Dato' Ab Jabar bin Mohd Aris, Pegawai-Pegawai Kanan, Pegawai dan Anggota yang diraikan. Majlis diteruskan lagi dengan ucapan wakil dari pegawai dan anggota yang bersara dan ucapan balas oleh Ketua Pengarah KAGAT. Turut diadakan penyampaian cenderahati kenangan kepada pesara sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang banyak menyumbangkan jasa kepada kor. Majlis diakhiri dengan jamuan serta acara bergambar sebagai tanda kenangan. Selamat bersara kepada para Daie Askari yang diraikan, semoga segala jasa dan sumbangan bakti yang dicurahkan dihitung sebagai amal khair. Selamat maju jaya di alam persaraan buat para Daie Askari.