KUALA LUMPUR, 27 Oktober 2022 - Pengurusan Masjid dan Surau ATM yang cemerlang, cekap dan memenuhi kehendak warga tentera adalah elemen penting yang mampu menyumbang kepada kesejahteraan kehidupan warga ATM. Peranan dan imej petugas masjid dan surau ATM dalam kalangan pegawai dan anggota KAGAT amat penting dalam menjana syakhsiah yang baik serta menjadi suatu ikutan kepada masyarakat setempat amnya dan warga ATM khasnya.
Sel Pengurusan Masjid Jabatan Arah KAGAT telah menganjurkan Seminar Pegawai-Pegawai Masjid dan Surau ATM Tahun 2022 bermula 26 hingga 27 Oktober 2022 bertempat di Dewan Seminar Mu'tah, Masjid Khalid bin Al-Walid KEMENTAH (MKWK) yang disertai oleh 27 orang Pegawai dan Anggota LLP KAGAT dan seminar ini telah dibimbing oleh tenaga pengajar daripada agensi Islam seperti Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), pengerusi-pengerusi masjid terkenal di tanah air, seperti Masjid Klana Petra, Nilai Negeri Sembilan, Masjid Temerloh Jaya, Temerloh Pahang dan pegawai-pegawai kanan KAGAT juga turut serta mengambil beberapa slot dalam seminar ini.Seminar ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan para pegawai masjid dan surau ATM berkaitan langkah berkesan bagi pengimarahan masjid & surau dalam kalangan pegawai dan anggota tentera. Disamping itu, seminar ini juga bertujuan untuk mendedahkan kepada para peserta kaedah terbaik mengenai komunikasi yang berkesan ketika bersama para jemaah agar petugas masjid sentiasa disenangi oleh semua pihak.Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Operasi dan Pembangunan Insan KAGAT, Brig Jen Zainal Abidin bin Mohamed Salleh.Turut bersama di dalam majlis ini adalah Pengarah Operasi, Kol Zulkifli bin Hj Mustafa dan Ketua Pengurusan Masjid, Lt Kol Muhammad Hanim bin Omar.