KUALA LUMPUR, 31 Oktober 2022 – Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Mej Jen Hj Mohd Rashidi bin Bujai dan isteri Puan Rahmah binti Ghazali merangkap Pengerusi BAKAT KAGAT sudi meluangkan masa pada malam ini menghadiri Majlis Makan Malam Penghargaan Pegawai Kanan KAGAT meraikan Kol Mohamad Idros bin Mohammad Yunus dan isteri Puan Faezah binti Hj Mokhtar bertempat di ??? ??????? ?????, Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.
Kol Mohamad Idros bin Mohammad Yunus akan menamatkan perkhidmatannya tidak lama lagi pada tanggal 19 November 2022. Beliau telah menaburkan bakti dengan penuh kecemerlangan setelah berkhidmat selama hampir 34 tahun dalam ATM. Persaraannya merupakan sebuah kehilangan besar bukan sahaja bagi warga KAGAT tetapi juga kepada seluruh warga ATM di Darat, Laut mahupun Udara. Majlis dimulai dengan acara bergambar, makan malam, persembahan hiburan berbentuk Islamik, tayangan Klip Video, ucapan oleh Pegawai Kanan yang diraikan dan ucapan balas oleh Ketua Pengarah KAGAT dan diakhiri dengan penyampaian cendera kenangan kepada Pegawai Kanan yang diraikan. Turut sama dalam majlis ini, Timbalan Ketua Pengarah Dasar dan Pengurusan KAGAT, Brig Jen Hj Mohd Hamzah bin Adam dan isteri, Timbalan Ketua Pengarah Operasi dan Pembangunan Insan KAGAT, Brig Jen Zainal Abidin bin Mohamed Salleh, Ketua Pengarah Kerohanian Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (MPLDTD), Brig Jen Dato' Ab Jabar bin Mohamad Aris, Pegawai-Pegawai Kanan dan isteri, Pegawai-Pegawai, SMR dan Pegawai Tanpa Tauliah Kanan (PTTK). Sesungguhnya, kami warga KAGAT turut bersedih dengan kehilangan permata berharga buat Kor ini, namun setiap yang datang pastinya akan pergi jua apabila tiba waktu dan ketikanya. Kami seluruh warga KAGAT mengucapkan selamat bersara kepada YBhg Tuan, semoga bahagia ceria disamping keluarga tercinta dan dipermudahkan segala urusan walau di mana jua berada.