KUALA LUMPUR, 9 Disember 2022 – Wajah ceria nan gembira terpapar di muka para Pegawai dan anggota Lain-lain Pangkat (LLP) KAGAT serta staf awam Jabatan Arah KAGAT, bagaikan menunggu kepulangan seorang Panglima dari medan perjuangan.
Begitulah yang dapat digambarkan dalam kesegakan Perbarisan Perdana Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) yang telah dilaksanakan di perkarangan Masjid Khalid bin Al-Walid KEMENTAH (MKWK). Perbarisan telah melibatkan seramai 33 Pegawai, 82 anggota lain-lain pangkat (LLP) dan 6 staf awam dari Jabatan Arah KAGAT, Markas Perkhidmatan dan juga pasukan sekitar Lembah Klang. Ianya diadakan sebagaimana rutin dalam diari seorang Tentera bahkan ia juga sebagai tanda kesyukuran kerana dilaksanakan sejurus penganugerahan pingat Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (D.S.A.P.) kepada Ketua Pengarah KAGAT yang membawa gelaran Dato' pada 8 Disember 2022. Ketibaan Ketua Pengarah KAGAT disambut oleh Brig Jen Hj Mohd Hamzah bin Adam, Timbalan Ketua Pengarah Dasar dan Pengurusan KAGAT, Brig Jen Zainal Abidin bin Mohamed Salleh, Timbalan Ketua Pengarah Operasi dan Pembangunan Insan KAGAT, Pegawai-Pegawai Kanan dan Sarjan Mejar Rejimen (SMR) Kor sebelum menerima tabik hormat dan pemeriksaan perbarisan. Perbarisan pada pagi ini diketui oleh Lt Kol Mohd Nizar Zahrin bin Zakaria. Mej Jen Dato' Hj Mohd Rashidi bin Bujai, Ketua Pengarah KAGAT dalam ucapannya di perbarisan itu telah mengingatkan beberapa perkara penting buat seluruh warga KAGAT agar terus istiqamah menunaikan amanah dalam perkhidmatan mengikut peringkat masing-masing kerana di dalamnya terkandung hak Allah Taala dan manusia yang akan dipertanggungjawabkan di negeri akhirat kelak. Program telah disusuli dengan acara bergambar, penyampaian Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, penyampaian Sumbangan Tabung Musa’adah dan diakhiri dengan jamuan. Sesungguhnya pelaksanaan perbarisan hari ini bertepatan dengan Tonggak Kedua Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu “Keutuhan Organisasi” yang menekankan aspek memperkasakan kesatuan dan perpaduan dalam kalangan warga TDM.