𝗦𝗔𝗠𝗕𝗨𝗧𝗔𝗡 𝗛𝗔𝗥𝗜 𝗨𝗟𝗔𝗡𝗚 𝗧𝗔𝗛𝗨𝗡 𝗞𝗢𝗥 𝗔𝗚𝗔𝗠𝗔 𝗔𝗡𝗚𝗞𝗔𝗧𝗔𝗡 𝗧𝗘𝗡𝗧𝗘𝗥𝗔 (𝗞𝗔𝗚𝗔𝗧) 𝗞𝗘-𝟯𝟵
PORT DICKSON, 3 Mei 2024 - Seramai 58 Pegawai dan 156 Anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) hadir dan terlibat secara langsung dalam Sambutan Hari Ulang Tahun Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) Ke-39 yang diadakan di Institut Latihan dan Kefahaman Islam Angkatan Tentera Malaysia (ILMI ATM), Port Dickson, Negeri Sembilan bermula 2 hingga 3 Mei 2024.
Sambutan HUT KAGAT Ke-39 telah ditunda dari tarikh sebenar sambutannya iaitu pada tanggal 16 April setiap tahun. Mengekalkan tema sambutan HUT KAGAT Ke-39 pada tahun ini sebagaimana tahun lepas iaitu, "Wehdatul Fikri Wal Amal" yang bermaksud Kesatuan Fikiran dan Tindakan. Pengerusi Kor, Mej Jen Dato’ Hj Mohd Rashidi bin Bujai di dalam ucapannya mengetengahkan 4 sisi pandangan ulama’ berkenaan makna akhlak sebagai pedoman warga Kor. Sisi pandang pertama dilihat dari sisi percakapan. Sebagai pembawa bendera dakwah, percakapan akan sentiasa dinilai oleh mad’u (sasaran dakwah). Sisi kedua akhlak dipandang pada riak dan raut wajah. Warga KAGAT sebagai mata rantai ulama', biar kelihatan tenang dan menyenangkan apabila dipandang oleh warga ATM dan masyarakat. Ketiga akhlak dilihat dari sisi pakaian seorang Da’ie. Pakaian menjadi lambang keperibadian seorang Da’ie Askari. Manakala pandangan sisi keempat akhlak diperhati pada perbuatan dan tingkah laku. Ketua Pengarah KAGAT menyeru supaya seluruh warga KAGAT menjaga tingkah laku dan akhlak serta perbuatan supaya selari dengan akhlak Islamiah supaya menjadi contoh kepada seluruh warga ATM. Pelbagai acara telah diatur sepanjang dua hari sambutan antaranya Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat dan kemuncak acara adalah Perbarisan HUT KAGAT Ke-39 pada 3 Mei 2024. Dalam perbarisan ini, telah dilaksanakan beberapa acara seperti Penyampaian Sijil Kepujian Pengerusi Kor, Penyampaian Anugerah Khas dan Perutusan Hari KAGAT oleh Pengerusi Kor. Bersempena dengan sambutan HUT ini juga turut diadakan Pelancaran Buku Kor KAGAT: Meniti Kecemerlangan. Buku ini merupakan manifestasi sebuah perjuangan kepimpinan dan warga KAGAT yang terdahulu sehingga kini. Dalam masa yang sama turut diadakan penyerahan Buku Modul Perisai Akidah ATM Versi 2.0 dan Buku Manual Kaunseling/Runding Cara Keluarga Islam Al-Ghazali (MARKIA).Sambutan HUT KAGAT Ke-39 diakhiri dengan Majlis Makan Malam Mahabbah bertempat di Laman Sri Pinang Port Dickson. Majlis ini telah berjaya menghimpunkan mantan-mantan Pengarah dan Ketua Pengarah KAGAT yang telah banyak berjasa dan menabur bakti buat KAGAT.