KUANTAN, 10 Mei 2024 - Melakar secuit sejarah di era sebuah dimensi baru buat wadah Pemangkin Kerohanian ATM - KAGAT apabila seorang pegawainya telah dilantik dan ditempatkan sebagai Pegawai Agama kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang bermula bulan 1 April 2024 yang lalu. Aspirasi kebanggaan buat Kor ini diekspresikan lagi dengan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan KAGAT tersebut pada hari Jumaat penghulu segala hari pada tanggal 10 Mei 2024. Ukiran yang baru terlukis ini terakam di dada sejarah KAGAT apabila majlis pemakaian pangkat ini telah disempurnakan sendiri oleh KDPB Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah. Perkenan serta keberangkatan KDPB mencemar duli ke Majlis Pemakaian Pangkat Lt Kol Anuar bin Mohd Ehwal selaku Pegawai Agama Istana Pahang bertempat di Istana Abdul Aziz, Kuantan, Pahang telah mengarcakan imej sebuah pengiktirafan dan penghargaan buat Kor Agama Angkatan Tentera, sekaligus mewarnai kecemerlangan kepimpinan Ketua Pengarah KAGAT Ke-9. Turut hadir meraikan lakaran sejarah di era dimensi baru di Majlis Pemakaian Pangkat oleh KDPB hari ini adalah Mej Jen Dato' Hj Mohd Rashidi bin Bujai, Ketua Pengarah KAGAT. Semoga lukisan indah ini tidak terhenti di sini bahkan didoakan ia menjadi titik bermula khususnya untuk generasi baru KAGAT terus menempa sejarah-sejarah baru di hari muka. Siiru 'alaa barakatillah buat seluruh warga 'Berjuang Berakhlak', Allah Taala sentiasa bersama kamu.