KUALA LUMPUR, 6 Julai 2024 - Pengerusi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), YBhg Datin Rahmah binti Ghazali hari ini berkesempatan meluangkan masa bersama barisan AJK dan ahli BAKAT KAGAT menghadiri Ceramah Fiqh Wanita bertempat di Dewan Salahudin Al-Ayubi, Masjid Khalid bin Al-Walid KEMENTAH (MKWK).
Ceramah yang diadakan ini adalah bertujuan memberi pendedahan dan pemahaman yang lebih mendalam tentang “Persoalan Darah Haid & Penyelesaiannya”. Ceramah ini telah disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Ahmad Fauwaz bin Ali@Fadzil, Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan. Ceramah ini dihadiri oleh 77 orang peserta terdiri daripada BAKAT KAGAT sekitar Lembah Klang, HELWA KAGAT dan Yayasan Food Bank. Turut bersama dalam majlis ini Puan Dr Faizah binti Kamaruddin, Timbalan Pengerusi 1 BAKAT KAGAT dan Datin Rafidah binti Mokhtar, Timbalan Pengerusi 2 BAKAT KAGAT. Majlis diakhiri dengan penyampaikan cenderahati kepada penceramah oleh Pengerusi BAKAT KAGAT dan acara bergambar serta jamuan. Semoga program seumpama ini dapat diteruskan dalam memberi pendidikan keagamaan dan ilmu yang bermanfaat kepada warga BAKAT KAGAT seterusnya dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahmi sesama warganya.