KUALA LUMPUR, 13 Julai 2024 - Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA), Mej Jen Datuk Hj Mohd Nizam bin Hj Jaffar telah berbesar hati meluangkan masa meraikan kepulangan jemaah Rombongan Haji ATM 1445H, pada hari ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Turut hadir Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KP KAGAT), Mej Jen Dato’ Hj Mohd Rashidi bin Bujai bersama staf-staf KAGAT. Seramai 211 orang Jemaah Haji ATM termasuk veteran ATM dan kakitangan awam Kementerian Pertahanan Malaysia dibantu 6 orang mutawwif serta 3 orang pegawai perubatan telah sempurna melaksanakan rukun Islam ke-5 melalui kuota yang diperuntukkan oleh Kerajaan Arab Saudi kepada ATM pada tahun ini melalui tiga travel agensi yang dilantik untuk mengelola jemaah haji ATM iaitu Barakah Umhaj Travel Sdn Bhd, Mimm Travel Sdn Bhd dan Tri-D Travel Sdn Bhd. Jemaah haji ATM telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah semalam dan tibanya di tanah air kira-kira jam 0500 pagi tadi. Alhamdulillah, kesemua jemaah haji ATM berada dalam keadaan baik. Semoga peroleh haji yang mabrur dan diterima segala amal ibadah yang dilaksanakan.