SEMPORNA, 11 Oktober 2024 - Program Dakwah Kawasan Operasi (PRODAKSI) Khas Tahun 2024 telah membuka tirainya buat kali ini. Program pada kali ini telah bergerak dari Pangkalan Udara Subang menuju ke destinasi pertama ke Tawau, Sabah dengan menaiki pesawat C130 yang dikendalikan oleh No. 20 Skuadron Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Program ini merupakan anjuran bersama Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama pihak Yayasan Taqwa, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) MAIWP, Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (TSKN) Sabah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS). Program PRODAKSI Khas ini berkonsepkan bimbingan kerohanian, ziarah dakwah, penyampaian sumbangan kepada masjid dan surau, anggota operasi dan penduduk setempat. Program ini berlangsung selama 5 hari bermula 11 Oktober hingga 15 Oktober 2024. Objektif PRODAKSI Khas pada kali ini adalah untuk menyantuni penduduk setempat dengan berdakwah secara santai dan juga bergerak kepada anggota ATM di kawasan operasi dan memberi manfaat serta impak yang maksima kepada masyarakat awam setempat. Setibanya tim PRODAKSI Khas di Terminal Tawau, mereka terus bergerak menuju ke destinasi pertama Program PRODAKSI Khas iaitu ke Kem SRI SEMPORNA. Setibanya disana, tim telah menunaikan solat Jumaat bersama pasukan Kem SRI SEMPORNA. Seusai itu, mereka menuju ke Dewan Nusalanong, KD SRI SEMPORNA bagi jamuan makan tengah hari serta penyampaian sumbangan kepada Surau Uthman Ibnu Affan. Penyampaian Sumbangan telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, PPZ MAIWP, Datuk Hj Abdul Hakim Amir bin Osman kepada Pemangku Pegawai Laksana KD SRI SEMPORNA, Lt Kdr Shuhaimi bin Ahmad TLDM yang turut disaksikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Operasi dan Pembangunan Insan KAGAT, Brig Jen Dato’ Ab Jabar bin Mohamad Aris. Pada sebelah malamnya pula, tim PRODAKSI Khas berada di Masjid Zul Rahman, Kampung Berjasa, Pulau Balimbang bersama penduduk setempat bagi Majlis Forum Perdana, Penyampaian Sumbangan kepada Masjid dan Penyampaian Sumbangan serta Kit PRODAKSI kepada penduduk setempat. Forum Perdana pada malam ini bertajuk "𝗦𝗬𝗨𝗞𝗨𝗥" telah menampilkan personaliti terdiri daripada Moderator, Mej Norazli bin Mazlan (KAGAT), dan dua ahli panel iaitu, Mej Dr Syukri bin Zahari Al-Hafiz (KAGAT) dan Ustaz Mohd Zulfitri Al Hakimi bin Amat (MUIS). Seusai Forum Perdana, diadakan Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Masjid dan Penyampaian Sumbangan serta Kit PRODAKSI kepada penduduk setempat. Majlis diakhiri dengan jamuan makan. Pastinya banyak info bermanfaat dan menarik bakal dikongsikan bersama sepanjang Program PRODAKSI Khas dilaksanakan. Semoga apa yang dilaksanakan mendapat keberkatan, dipermudahkan segala urusan dan mencapai objektif sasaran dakwah.