KOTA BHARU, 28 November 2024 - Meneruskan tradisi ulama silam, mengunjungi sesama alim ulama, berbicara tentang kepentingan agama dan ummah, malah menyangjungi yang lebih dahulu dalam berjuang dan berdakwah. Atas sebab itu, maka hari ini Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KP KAGAT), Mej Jen Dato' Hj Mohd Rashidi bin Bujai telah melaksanakan sesi kunjungan hormat kepada Yang Berbahagia Sahibus Samahah Dato' Hj Mohamad Shukri bin Mohamad, Mufti Negeri Kelantan bertempat di Pejabat Mufti Negeri Kelantan.
Kunjungan hormat ini sebagai satu inisiatif KAGAT untuk menjalinkan kolaborasi dengan jabatan mufti negeri dalam usaha memperkasakan agenda dakwah dan kerohanian kepada masyarakat amnya dan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khasnya. Turut dibincangkan bersama-sama di dalam perjumpaan ini adalah berkaitan isu keagamaan seperti isu fatwa, hukum-hakam dan juga perundangan islam. Selain itu, kerjasama program dan aktiviti dakwah antara Jabatan Mufti dan KAGAT di Kelantan dalam usaha memperkasakan dakwah khususnya melibatkan warga ATM di pantai timur. Turut sama dalam kunjungan hormat ini, Lt Kol Wan Madzlan bin Wan Abdullah, Pegawai Staf 2 Agama, Markas 8 Briged. Semoga kerjasama yang terjalin ini akan mampu mengorak langkah kearah momentum dakwah yang lebih hebat seiring dengan hala tuju KAGAT dan ATM.