KUALA LUMPUR, 3 Januari 2025 - Subuh hari Jumaat pertama tahun 2025, warga Bahagian Perkhidmatan Anggota bersama saf kepimpinannya khususnya Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKS PA), Lt Jen Datuk Hj Mohd Nizam bin Hj Jaffar telah melangkah kaki masing-masing menuju ke Masjid ATM, Masjid Khalid bin Al-Walid (MKWK), KEMENTAH untuk menunaikan solat Subuh secara berjemaah dalam memenuhi Program Semarak Subuh Perdana Bahagian Perkhidmatan Anggota.
Hati warga BPA dan jemaah lainnya terjentik apabila AKS PA sendiri menyuntik semangat jati diri sebagai peribadi Muslim, menyelit keazaman dan keikhlasan bekerja serta seruan untuk mengukuhkan amalan akhlak Islamiah di sepanjang kehidupan. Semulus bicara tazkirah AKS PA mengutip ibrah dari Khutbah Wada' Rasulullah SAW di kala subuh Jumaat pertama 2025 pagi ini akan memberi bekas dan bertitik kemas di dada seluruh warga BPA dan jemaah yang menekuni setiap patah kata yang tertitip dari bibir kepimpinan ATM ini. Selain Program Semarak Subuh Perdana hari ini, awal tahun 2025 juga dihiasi dengan amalan mulia menyantuni 40 sahabat asnaf ATM. Penyampaian Sumbangan Asnaf ATM dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Kuala Lumpur. Agar dengan secuit sumbangan ini dapat meringankan sedikit kerumitan yang ada. Dengan bermulanya aktiviti berjiwakan keimanan di Subuh Jumaat pertama 2025 hari ini, diharapkan ia mampu mengintai kerahmatan, menagih simpati, meraih cinta Ilahi dari Rabbul Jalil, Allah Yang Maha Mempunyai Kebesaran buat seluruh warga BPA dan kepimpinannya.