PORT DICKSON, 12 Mei 2023 - Seramai 40 Pegawai dan 146 Anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) hadir dan terlibat secara langsung dalam sambutan Hari KAGAT Ke-38 yang diadakan di Institut Latihan dan Kefahaman Islam Angkatan Tentera Malaysia (ILMI ATM), Port Dickson Negeri Sembilan bermula 10 hingga 12 Mei 2023.
Sambutan Hari KAGAT Ke-38 telah ditunda dari tarikh sebenar sambutannya iaitu pada tanggal 16 April setiap tahun. Mengetengahkan tema sambutan, "Wehdatul Fikri Wal Amal" yang bermaksud Kesatuan Fikiran dan Tindakan, Pengerusi Kor, Mej Jen Dato’ Hj Mohd Rashidi bin Bujai telah menunjangkan hasrat supaya seluruh warga KAGAT dapat berpegang teguh kepada 2 teras utama konsep kesatuan fikiran dan tindakan iaitu bekerja secara Amal Jama’iy (panduan dan strategi serta perancangan kerja yang tersusun) dan Amal Ijtima’iy (wujudnya kesepaduan dan keserasian untuk tolong-menolong antara sesama warga kor) dalam menjayakan gerak kerja dakwah dan Islah, proses tarbiyyah Islam dan juga jihad serta perjuangan memuliakan Islam bagi seluruh warga ATM. Pelbagai acara telah diatur dan kemuncak acara sambutan Hari KAGAT Ke-38 adalah Perbarisan Hari KAGAT yang telah dilaksanakan pada 12 Mei 2023. Dalam perbarisan ini, telah dilaksanakan beberapa acara seperti Penyampaian Sijil Kecemerlangan Kor, Penyampaian Sijil Penghargaan Pengerusi Kor, Penyampaian Anugerah Khas Pengerusi Kor, dan Perutusan Hari KAGAT oleh Pengerusi Kor. Sejurus selepas perbarisan turut diadakan majlis pemakaian pangkat dan jamuan. Sambutan Hari KAGAT Ke-38 diakhiri dengan lawatan mahabbah ke atas veteran KAGAT sekitar Port Dickson. Diharapkan agar dengan sambutan Hari KAGAT Ke-38 akan mampu melonjakkan prestasi dan inspirasi kerja warga KAGAT seluruhnya dalam meneruskan agenda KAGAT Pemangkin Kerohanian ATM.